Langkah proaktif MRSM: Bekas tentera sebagai warden disokong masyarakat

2025-08-21    HaiPress

Foto RTM

BALIK PULAU,20 Ogos -Langkah menempatkan bekas anggota tentera sebagai warden di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) disifatkan sebagai pendekatan proaktif dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif.

Tinjauan RTM di sekitar Balik Pulau mendapati rata-rata orang ramai menyambut baik pelaksanaan inisiatif tersebut serta mengharapkan ia diperluaskan ke institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

"Jadi kalau pendapat saya kalau nak lantik polis pencen ataupun askar pencen,ini adalah bagus memandangkan mereka ini terlatih daripada segi disiplin dan moral. Kalau diperluaskan lebih bagus kerana kadang ada kes yang terjadi baru-baru ini seperti buli hingga membawa kepada kematian. Jadi saya fikir ini adalah jalan terbaiklah,"kata Mohd Amirul Yamin Mohd Yatim.

"Boleh diperluaskan juga sebab secara tidak langsung ia boleh menambah pendapatan mereka ini. Tambahan juga mereka mempunyai disiplin yang kuat dan ketat," kata Endang Mardiana Jamaran.

"Cikgu-cikgu dah tak perlu lagi terbeban sebab lepas habis mengajar di sekolah,mereka tak perlu sambung tugas pula sebagai warden di asrama. Salah satu tujuan pelantikan bekas anggota tentera sebagai warden ini adalah untuk meringankan beban guru. Selain itu,anggota yang dilantik ini sama ada dalam kalangan kakitangan awam atau bekas tentera sudah mempunyai latar belakang disiplin yang tinggi. Kita semua tahu tahap disiplin dalam ketenteraan amat ketat,jadi ini secara langsung dapat membantu pelajar untuk lebih berdisiplin," kata Amylia Nadira Abdullah.

Setakat ini,Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menempatkan kumpulan pertama warden MRSM lantikan sepenuh masa dalam kalangan bekas polis dan tentera telah sebagai prokej rintis memulakan tugas di dua MRSM iaitu MRSM Besut,Terengganu dan MRSM Balik Pulau,Pulau Pinang,bermula Isnin lepas.

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) turut mengesahkan lapan veteran tentera terdiri daripada empat lelaki dan wanita telah ditempatkan serta melepasi ujian temu duga.