Lawatan Fadillah ke Uzbekistan, perkasa hubungan dua hala

2025-06-20    IDOPRESS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,20 Jun- Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Fadillah Yusof ke Uzbekistan bermula esok (21 Jun) melambangkan komitmen berterusan Malaysia bagi memperkasa hubungan dua hala antara kedua-negara.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan memaklumkan,lawatan kerja ke republik itu yang bermula 21 Jun hingga 24 Jun; diiringi Timbalan Menteri Luar Negeri,Datuk Mohamad Alamin dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan.

"Pada 23 Jun,Datuk Seri Fadillah dijadualkan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Uzbekistan,Shavkat Mirziyoyev,disusuli pertemuan dengan Menteri Tenaga Republik Uzbekistan,Mirzamahmudov Jurabek Tursunpulatovich untuk menerokai peluang-peluang baharu dalam sektor tenaga,termasuk tenaga bersih dan tenaga diperbaharui," menurut kenyataan itu.

Datuk Seri Fadillah juga dijadualkan menyampaikan ucaptama pada Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) 2025 di Samarkand.

Ucaptama tersebut akan menyentuh amalan terbaik Malaysia dan inovasi dalam perkhidmatan awam.

"Pada 24 Jun 2025,Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan 2025 di Tashkent," menurut kenyataan itu.

Pada tahun 2024,jumlah dagangan keseluruhan ke Uzbekistan adalah sebanyak RM369.8 juta (USD80.9 juta) dengan jumlah eksport bernilai RM365.1 juta (USD79.9 juta),sementara import adalah sebanyak RM4.8 juta (USD1 juta).

Dari Januari hingga April 2025,jumlah dagangan keseluruhan mencatatkan nilai berjumlah RM106 juta (USD25 juta).