Mesyuarat SOMTC ke-25 fokus jenayah rentas sempadan, asas kestabilan serantau

2025-06-20    HaiPress

Mohd Azlan Razali

KUALA LUMPUR,20 Jun- Malaysia memberi komitmen berterusan dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan (SOMTC).

Setiausaha Bahagian Antarabangsa,Kementerian Dalam Negeri,Mohd Azlan Razali berkata,mesyuarat itu menjadi asas kepada kestabilan rantau Asia Tenggara dalam merealisasikan aspirasi ASEAN sebagai blok ekonomi ke-4 terbesar dunia menjelang 2030.

"Kestabilan dan keselamatan serantau menjadi faktor penarik kepada pelabur luar. Dengan keamanan yang terjamin,ekonomi ASEAN dapat berkembang lebih pantas.

"Selain tiga jenayah utama yang menjadi ancaman kepada rantau ASEAN,tujuh lagi bentuk jenayah turut dibincangkan dan diberi perhatian serius.

"Antaranya termasuk jenayah pemerdagangan orang,pengedaran dadah,penyeludupan hidupan liar dan balak,penyeludupan senjata api,jenayah siber serta beberapa bentuk jenayah rentas sempadan lain yang semakin membimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media,di sini.

SOMTC ke-25 akan berlangsung di Putrajaya pada 23 hingga 27 Jun ini merupakan badan utama ASEAN yang bertanggungjawab menyelaras dasar,strategi dan inisiatif dalam memerangi jenayah rentas sempadan secara kolektif.

Ia bakal dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,Datuk Haji Awang Alik Jeman,selaku wakil rasmi Malaysia dalam memimpin sesi perbincangan penting yang melibatkan kerjasama serantau membanteras jenayah rentas sempadan.

Selain melibatkan pegawai kanan dari negara-negara anggota ASEAN ia juga berfungsi sebagai platform penting untuk menyediakan dokumen dasar serta membincangkan isu-isu utama keselamatan serantau sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi yang dijadualkan pada September depan di Melaka.